Thursday, July 2, 2009

Latar Belakang

Sekolah Kebangsaan Pengiran Jaya Pimping
Peti Surat 86
89728 Membakut.

Sekolah Kebangsaan Pengiran Jaya Pimping pada mulanya diberi nama SRK Kg. Pimping. Sekolah ini telah didirikan di tengah-tengah Kampung Pimping di atas tanah yang rata seluas 2.94 ekar. Ia mula didirikan pada tahun 1946. Boleh dikatakan sekolah ini didirikan dengan serba sederhana sahaja, kerana atapnya diperbuat daripada daun rumbia, tiang nibong dan dindingnya daripada pelapah rumbia, tidak berlantai hanya bermeja panjang. Didirikan hanya setakat dua buah bilik darjah menampung seramai 33 orang murid dengan dua orang guru.

Guru yang pertama sekali di sekolah ini ialah En. Abd. Wahid Osman dan En. Parman Hassan dan gaji mereka dibayar oleh Colony of North Borneo. Pengasas sekolah ini ialah seorang tokoh yang berpengaruh dan namanya memang terkenal di Kg. Pimping di ketika itu. Beliau ialah Tuan Haji Pengiran Jaya bin Pengiran Besar dan O.T Awang Piut bin Pengiran Sulaiman.

Semasa hendak mendirikan sekolah di kampung ini, tempat mendirikan atau tapaknya belum ada, dengan budi bicara yang ikhlas sekali lagi pengasas sekolah tersebut Tuan Hj. Pengiran Jaya bin Pg. Besar menghadiahkan sebidang tanah seluas 2.94 ekar N.T 5176 II. Tanah yang dihadiahkan oleh beliau ini telah dijadikan sebagai tapak bangunan sekolah yang ada sekarang ini. Oleh yang demikian jasa-jasa yang beliau taburkan tidak sepatutnya dilupakan walaupun sampai bila-bila masa sekalipun. Memandangkan kepada jasa-jasa yang dicurahkan oleh beliau itu, maka Sekolah Rendah Kerajaan Kg. Pimping, Membakut pada dulunya telah diubah dan diberi nama SK. Pengiran Jaya Pimping Membakut pada 16 Januari 1982.

Pada masa itu, rumah untuk kediaman guru-guru belum ada, dan semua guru yang mengajar di sekolah ini, terpaksa menyewa rumah orang kampung. Pada tahun 1947 murid sekolah ini meningkat kepada 53 orang dan seterusnya pada tahun 1948 murid meningkat lagi sejumlah 110, sedangkan guru pada masa itu hanya dua orang saja belum bertambah lagi. Kerja-kerja menambah bangunan sekolah telah diusahakan dengan giatnya melalui gotong royong, dengan usaha yang gigih dari pengasas sekolah ini, maka guru yang mengajar pun ditambah kepada empat ornag dan bilik darjah meningkat kepada empat buah sehinggalah tahun 1951.

Pada tahun 1952 kerajaan pada masa itu telah mendirikan sebuah bilik darjah dan sebuah rumah guru jesteru pada tahun 1953 kerajaan menambah lagi dua buah bilik darjah dan dua buah rumah guru. Pada tahun berikutnya kerajaan menambah lagi dua buah bilik darjah dan dua buah rumah guru. Pada awal tahun 1955 bilik darjah yang dibangunkan oleh kerajaan menjadi lima buah dan rumah guru menjadi lima buah. Pada tahun 1958 sebuah bilik darjah ditambah lalu meningkat kepada enam buah dengan pertambahan murid yang makin meningkat. Pada tahun itu murid sekolah ini meningkat kepada 172 orang dan guru meningkat kepada lima orang.

Dari tahun 1958 hinggalah ke tahun 1977 tidak ada pembangunan atau projek yang dilaksanakan di sekolah ini, tetapi jumlah murid makin meningkat dari tahun ke setahun. Dalam tahun 1977 rekod pertambahan murid mencapai ke 349 orang dengan guru yang mengajar seramai 14 orang. Pada tahun 1978 sebuah sekolah yang sangat kukuh (konkret) telah dibangunkan dengan kelengkapannya sekali yang mengandungi 8 buah bilik darjah selain daripada pejabat guru besar, pejabat dan stor , tandas guru-guru dan ktbm serta api dan air juga dibekalkan.

Pada ketika itu jumlah murid meningkat kepada 373 orang, dan terpaksa lagi menggunakan kelas dua sidang, kerana bilangan murid semakin meningkat. Pada tahun 1983 sebuah lagi bangunan sekolah yang serba lengkap dan moden telah didirikan untuk menggantikan bangunan yang lama setinggi 2 tingkat mengandungi 9 buah bilik termasuk bilik pusat sumber, bilik klinik pergigian, bilik sains dan bilik RTP, di samping beberapa buah stor juga dibuat. Kedua-dua bangunan yang konkrit ini telah dibiayai sepenuhnya oleh Bank Dunia dan sekarang masalah kekurangan bilik darjah tidak timbul lagi.

No comments:

Post a Comment